Sesungguhnya Allah memerintah kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada yang berhak menerimanya.
An-Nisa':58

Monday, 28 December 2009

Pemimpin Catakserukin


Pemimpin catakserukin kenangan rimba yang subur, renungan tajam dan cekal ke pelabuhan termahsyur.

Hatinya-degupan yang sentiasa menjernihi qalbu, puncak hajat memurnikan darah wira yang lebih syahdu.

Wajib dibela nasib rakyat-diurus seadil cantik, didengar rintih sedu mereka walau sesayap bisik.

Wajar turut disaksi bumi dan insan akrab berdakap di dalam sebuah negara yang dimegahi bersikap

Diri pemimpin patut menjadi watak tunggal berdiri, tangan dan hatinya wajib seimbang memandu kemudi.

Walau tak diperasan siapa yang berada di sisi, wajar dipantau rakyat yang tak disedari terketepi.

Pada akhir nafas dan zaman terharum bakti pemimpin waras diteliti tiap abjad sumbangannya yang tulen.

Tetap terdedah ghairah bakti atau hanya pesta sorak, semuai mana benih perjuangannya subur memuncak?

Keluarga pemimpin patut ditimbang berat ringannya, disukat papa kayanya sepanjang dia berkuasa.

Dan terus dinilai murni keruh sumbangannya yang tulen agar terhakim adil tidaknya masa ia memimpim.

Kini kami terserempak sangat ramai wira haloba ditengah pemimpin catakserukin yang makin bercambah.

Kami tersangat arang menemui pemimpin yang syahdu walaupun kemerdekaan sudah lima dekad berlalu.

*catakserukin - Cakap Tak Serupa Bikin


15-24 Oktober 2009
 Datuk A.Samad Said

No comments: